Hidupkan bulan Ramadan dengan amalan-amalan soleh

Hidupkan bulan Ramadan dengan amalan-amalan soleh

Alhamdulillah. Sudah dua minggu Ramadan bersama dengan kita. Seperti yang kita ketahui, puasa pada bulan Ramadan adalah salah satu daripada Rukun Islam. Semasa berpuasa, kita bukan sahaja disuruh menahan diri daripada makan dan minum, tetapi juga dikehendaki memelihara segala tingkah laku daripada perbuatan keji dan mungkar.

Ibadat puasa telah difardukan pada tahun kedua Hijrah. Walaupun puasa sebenarnya telah menjadi amalan umat-umat terdahulu, tetapi kefarduannya hanya disyariatkan ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan umat baginda sahaja.

Puasa mempunyai pelbagai hikmah, meliputi aspek sosial, jasmani, rohani dan spiritual. Dengan berpuasa, kita boleh melatih diri menjadi lebih sabar, bertolak ansur dan bersikap belas ihsan terhadap sesama insan.

Puasa merupakan cara semulajadi yang digunakan oleh kebanyakan makhluk Allah untuk menyembuhkan penyakit. Daripada pemerhatian, haiwan juga akan berpuasa apabila ia sakit atau tercedera.

Berdasarkan banyak kajian yang telah dijalankan, ramai ahli sains memperakui bahawa puasa mempunyai kesan penyembuhan terhadap pelbagai penyakit termasuk kencing manis, darah tinggi, obesiti, artritis, asma, kanser dan penyakit mental.

Ketika berpuasa kita digalakkan untuk menyegerakan berbuka dan melewatkan bersahur.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang maksudnya:

"Selama umatku melambatkan sahur (hingga dekat waktu imsak) dan menyegerakan berbuka puasa pada waktunya, senantiasa ia berada dalam kebajikan." (Riwayat Ahmad)

Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan. Selain diwajibkan berpuasa pada siang hari, kita juga digalakkan supaya menghidupkan bulan itu dengan amalan-amalan soleh seperti solat tarawih, witir, bertadarus, berzikir, bersedekah, memberi makan kepada fakir miskin dan sebagainya.

Di dalam bulan Ramadan, terdapat suatu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan, dinamakan malam qadar (Lailatulqadar). Pada malam itu, sesiapa yang beramal ibadat secara ikhlas dijanjikan ganjaran yang menyamai seperti beribadat selama 1,000 bulan, iaitu kira-kira 83 tahun 4 bulan.

Semoga kita dapat melaksanakan ibadah puasa pada kali ini dengan sempurna. InsyaAllah. 

Back to blog

Leave a comment

Please note, comments need to be approved before they are published.