Perkara yang Merosakkan Puasa

Perkara yang Merosakkan Puasa

Ramadan adalah bulan suci dibandingkan dengan semua bulan dalam satu tahun. Allah SWT menghendaki hamba-Nya supaya memenuhkannya dengan ketaatan dan mendekatkan diri kepada-Nya. 

Semasa berpuasa di siang hari, ambil peduli dengan beberapa perkara yang kadangkala kita terlepas pandang. Hal ini, jika kita lakukannya akan menjejaskan kualiti puasa kita. Antaranya ialah: 

  1. Menjaga lidah

Semasa berpuasa, kurangkan berbual tentang keduniaan, menyanyi-nyanyi, berdusta, mungkir janji, mengumpat, membantah-bantah, mendoakan dengan kejahatan, memaki hamun dan bergurau dengan cara mengejek.

  1. Menjaga mata

Menjaga pandangan di siang hari dengan menjauhi daripada melihat perkara-perkara yang dilarang seperti menonton filem yang kurang sopan atau lucah, melihat aurat orang lain dan memandang seseorang dengan keinginan nafsu.

Kalau boleh, tundukkanlah pandangan mata kita ketika sedang berpuasa supaya terpelihara daripada melakukan dosa-dosa yang berkaitan dengan apa yang kita pandang.

  1. Menjaga tangan

Menjaga tangan bermaksud kita dilarang mencuri, merompak, memukul orang atau haiwan, merosakkan harta benda awam atau harta benda orang lain, dan segala perbuatan terlarang yang dilakukan menggunakan tangan.

  1. Menjaga telinga

Mendengar perkara-perkara yang mendatangkan dosa seperti mendengar cerita keburukan orang lain, berita fitnah yang belum tahu kesahihannya, mendengar lagu-lagu yang melalaikan dan lain-lain yang berkaitan dengan pendengaran (telinga).

Kesimpulannya, sama ada sedang berpuasa atau tidak berpuasa, jauhilah daripada mendengar perkara yang sia-sia dan tidak mendatangkan faedah.

  1. Menjaga kaki

Antara contoh perbuatan atau perkara yang melibatkan kaki ialah seperti pergi ke tempat-tempat hiburan, pusat perjudian, pesta-pesta yang melekakan dan semua tempat yang bercampur antara lelaki dan perempuan. Perkara ini akan mempengaruhi puasa kita di siang hari.

  1. Menjaga perut dan nafsu

Keinginan mengisi perut dengan pelbagai juadah berbuka sehingga berlebih-lebihan dan boleh menjadi pembaziran. Membazir atau membuang makanan adalah tidak baik. Sesetengah daripada kita mengatakan haram hukumnya membuang makanan, iaitu rezeki yang Allah berikan kepada kita.

Oleh itu, janganlah mengurangkan pahala puasa semasa sedang berbuka dengan mengikut apa yang perut kita mahu. Perut yang berpuasa jika diisi dengan sedikit makanan pun sudah boleh merasa kenyang. Kita tidak sepatutnya terlalu mengikut nafsu yang meminta dihidangkan pelbagai juadah sewaktu berbuka.

  1. Menjaga kemaluan

Menghindari perkara yang membawa kepada dosa besar seperti berzina. Selain itu, mengeluarkan air mani dengan sengaja pada siang hari dalam bulan Ramadan juga merosakkan puasa.

  1. Menjaga kecantikan (bagi perempuan)

Berhias dan bersolek akan menarik perhatian kaum lelaki yang ada kemungkinan memandang seseorang perempuan itu dengan keinginan nafsu. Lelaki itu berdosa dan puasanya akan rosak, sementara bagi perempuan itu pula, dia juga berdosa kerana membiarkan lelaki yang bukan mahram memandang kecantikannya

  1. Menjaga aurat

Mendedahkan aurat bagi lelaki dan wanita adalah haram dan berdosa hukumnya. Oleh itu, puasanya dikira rosak kerana melakukan perkara yang memang sudah nyata diharamkan oleh Allah dan agama Islam.

  1. Meninggalkan solat fardu

Orang yang meninggalkan solat fardu lima waktu telah melakukan dosa besar. Orang yang berpuasa tetapi tidak solat tetap berdosa walaupun puasanya sah. Cuma, puasa orang yang tidak solat ini tiada nilainya di sisi Allah.

Semoga bermanfaat. 

Dipetik daripada: Marhaban Ya Ramadhan – Membentuk Jiwa Muttaqin

Penulis: Hasri bin Harun

Dapatkan di https://arasmega.com/products/marhaban-ya-ramadan

Kembali ke blog

Tinggalkan komen

Sila ambil perhatian, ulasan perlu diluluskan sebelum ia diterbitkan.