Sewaktu hantar anak (darjah 1) ke sekolah agama disebelah pagi, terdengar jeritan cikgu-cikgu menengking murid. Sekolah petang anak bercerita ada kawan kena pukul ditangan dengan pembaris sehingga menangis. Situasi-situasi menakutkan kanak-kanak (lebih-lebih lagi darjah 1) sudah mula muncul hanya selepas 3 minggu sesi persekolahan bermula.
Iya. Kita rasakan ini biasa. Kita kata, kita pun begitu juga dulu. “Jadi je orang!”. Itulah ayat biasa yang keluar dari mulut kita si dewasa yang menjadi “orang”.
Adakah betul kita menjadi orang? Atau kita sebenarnya membesar menjadi si dewasa yang pemarah. Kita si dewasa, gagal mengurus emosi dengan baik.
Anak-anak ini terpaksa berdepan dengan kemarahan kita sepanjang hari. Dari sekolah hingga ke rumah. Secara tidak sedar, kita sedang melahirkan generasi yang lebih pemarah dari kita.
Saya yakin bukan semua cikgu begitu. Ramai yang memilih untuk menyantuni anak-anak murid mereka dengan baik dan penuh kasih sayang. Cikgu beginilah yang memberi semangat pada anak-anak kita untuk terus bersekolah. Terima kasih Cikgu.
Kemarahan ini tidak terhenti di sekolah sahaja. Kita si dewasa yang berada di pejabat, di rumah, sedang memandu atau di mana sahaja sering kalah dalam menahan marah.
Generasi kita sahaja sudah cukup banyak kes-kes keganasan. Keganasan jalan raya, rumah tangga, tempat kerja, buli dewasa, penderaan kanak-kanak dan sebagainya. Belum ditambah dengan kes-kes jenayah yang semakin meningkat.
Dan semua ini dilakukan oleh orang yang kita katakan elok itu.
Ramadan bulan dimana kita bukan sahaja perlu berlapar dahaga, tetapi juga menjaga lidah, menjaga marah. Banyakkan besabar. Tetapi dua kisah di atas berlaku dalam bulan Ramadan.
Sebab itu akhlak ini bukan untuk diajar, tetapi untuk dicontohi, diikuti. Pengajaran akhlak secara teori tidak akan menjadikan murid itu berakhlak.
Mungkin ada betulnya kita berjaya menjadi orang. Tapi kita gagal menjadi manusia.